Wednesday, July 18, 2007

PENSEJARAHAN PAHANG: SUATU “VACUUM” YANG BELUM TERISI – Bahagian Pertama

Oleh:
Wan Jamaludin Wan Bidin

Sejarah merupakan catatan-catatan peritiwa yang berkaitan dengan diri, kelompok masyarakat, negara maupun sesebuah budaya. Ia merupakan sebahagian daripada minit-minit peristiwa yang berlaku di sesuatu ketika atau zaman yang sempat atau patut dirakamkan oleh pencinta sejarah. Ia amat penting malah mampu menghubungkan titik-titik di masa lampau dengan masa kini seterusnya menyediakan penyelesaian masalah untuk masa-masa akan datang.[1] Dalam mengungkapkan persoalan apa itu sejarah?,E.H. Carr menjelaskan,

“...it is a continuos process of interraction between the historian and his facts, an unending dialogue between the present and the past.”[2]
(...ia merupakan proses interaksi yang berterusan di antara sejarawan dengan fakta sejarahnya, juga merupakan bicara yang tiada berkesudahan di antara masa sekarang dengan masa lampau...[pen])

Namun di atas kelemahan dan ketidakupayaan manusia serta keterbatasan masa, ruang dan peluang, maka tidak semua peritiwa yang berlaku dicatat serta dirakamkan. Perakam peristiwa sejarah tidak mampu mencatat semua perkara.[3] Malah catatan sejarah itu sebenarnya hanyalah merupakan intisari daripada apa yang sebenarnya berlaku pada sesuatu masa di samping cuba menjawab persoalan “mengapa ianya berlaku”. [4]

Oleh hal yang demikian tidak mustahil masih ada penceritaan sejarah yang benar dan sahih yang belum sempat dirakamkan dalam bentuk dokumentasi yang mudah ditatap umum. Ia terpinggir, terbiar, tidak diendahkan seterusnya terlepas daripada kajian ahli sejarah. Akhirnya ia terus hilang ditelan masa, pergi bersama pembawa cerita sejarah itu sendiri dan seterusnya dilupakan. Begitulah yang berlaku kepada semua penceritaan sejarah seumpama ini dalam penceritaan sejarah dunia umumnya dan sejarah negara khususnya. Sehubungan dengan ini, Sejarah Pahang termasuk kisah Seri Maharaja Setia Raja Wan Daud bin Wan Pahang atau Orang Kaya Haji tidak terlepas daripada fenomena tersebut.

Persejarahan Negeri Pahang yang bersumberkan Seri Maharaja Setia Raja atau keturunannya adalah amat kurang malah mungkin tiada langsung. Namanya hilang di tengah-tengah pengagungan sumbangan Maharaja Perba Jelai atau Tok Raja terhadap sultan. Wal hal kedua-dua tokoh ini mewarisi dua gelaran yang begitu besar di sisi Sultan Pahang ketika itu terutama selepas tamat Perang Pahang selama enam tahun (1857 – 1863). Malah penguasaan dua tokoh ini di kedua-dua tebing Sungai Jelai sentiasa tercatat di dalam sejarah. Itulah hakikat sejarah yang telah tertulis.

Dua gelaran besar ini adalah bermula pada masa Wan Muhammad (Tun Wok) bin Tun Abdul Latif yang digelar sebagai Maharaja Perba Jelai “Raja Tanah Ulu” membahagikan pusakanya kepada dua puteranya iaitu Wan Pahang dan Wan Ideris pada 1224H bersamaan 1809M. Wan Pahang digelar sebagai Seri Maharaja Perba Jelai, memegang hukum syarak dan kurnia pusaka di sebelah kiri mudik Sg. Jelai dari Tanjung Lindung hingga ke puncak air meleleh. Wan Ideris digelar sebagai Indera Maharaja Perba Jelai, memegang hukum adat dan dikurnia pusaka di sebelah kanan mudik Sg. Jelai dari Tanjung Lindung hingga ke puncak air meleleh. Mengikut perjanjian pusaka itu, barang sesiapa menjadi Maharaja Perba Jelai, pusaka Seri Maharaja atau Indera Maharaja tidak boleh dijual dan tidak boleh digadai selagi ada bulan bintang dan selagi ada kuasa raja-raja. Hakikat pembahagian dua tanah ini telah diakui sendiri oleh al-Marhum Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai, Tok Raja Wan Badiuzzaman bin Wan Ali dalam surat yang diutuskannya kepada waris Orang Kaya Haji iaitu Wan Bidin b. Wan Idris. Bersambung...
________________________
[1] E.H.Carr, What is history?, (R.W.Davies(ed), Penguin Book: London, Second Edition, 1987, hal.7; lihat juga George Clark, Cambridge Modern History: It Origin, Autorship and Production, 1907, hal. 10 – 12.
[2] Ibid, hal. 30.
[3] Semua pengkaji sejarah mengakui bahawa sejarah merupakan rumusan atau kesimpulan kepada sesuatu peritiwa, kerana adalah mustahil penulis sejarah mencatat setiap minit yang berlaku dan setiap peritiwa yang dilaluinya. Semua bentuk kajian bukan hanya sejarah memang mempunyai keterbatasan masing-masing; lihat Keith F Punch, Introduction of Social Research – Quantitative & Qualitative Approaches, London: SAGE Publications, hal. 105; Lihat juga Miles and Huberman, Qualitative Data Analysis, 2nd edn. Thousand Oaks, CA: Sage, hal. 27.
[4]E.H. Carr, ibid. Hal. 87.

6 comments:

admin said...

Saya bersetuju dengan pendapat saudara..penulisan sejarah juga sering terperangkap dengan apa yang dinamakan sebagai "modality of investigation dalam kerangka colonial knowledge". ringkasnya, banyak sejarah telah ditulis semula oleh penjajah dengan mengikut kehendak dan kepentingan penjajahan mereka...keterangan lanjut lihat Cohn, Bernard, 1996. Colonialism and its form of knowledge, New Jersey:Princeton University Press dan Shamsul A.B., 1999, "Colonial Knowledge and the construction of Malayness: Exploring the literary compenent," Sari (UKM), 17, pp.3-17.

Dr. Aminudin Abdul Karim said...

Pengerusi persatuan Orang Kaya Haji Pahang, nampaknya saudara telah ketinggalan tentang Sejarah Lipis sila baca blog saya dengan serach digoogle dan tulislah Sungaibatuderelong, pasti membaca Finding-finding saya tentang lembah Bama dan buku saya akan dikeluarkan berjudul Menyingkap Sejarah Lembah Bama DiNegeri Pahang Sebagai Pusat Perdagangan Terawal Bagi Asia Tenggara dan Mengesan Sultan Yang Memerintah Riau-Lingga -Johor Yang Menetap DiLembah Bama (Kg Relong).Pasti tiada Vacuum lagi dalam sejarah pahang malah mendahului Melaka.

Dr Aminudin

Dr. Aminudin Abdul Karim said...

Sdr. sila baca artikel saya berjudul Ilmu Kolonial, dalam aminrelong.multiply.com
Buku kajian saya tentang lembah Bama boleh diperolehi sekarang menerusi Sungaibatuderelong dan juga www.facebook.com

Aminudin.

Dr. Aminudin Abdul Karim said...

Sdr Penyelenggara Blog, sila baca penemuan Teori Raut Wajah @ Muka dengan Keturunan Datok Linggi @ Sultan Ahmad Shah (moyot saya) dengan Keturunan Sultan Trengganu,Brunei dan Johor dalam http://SungaibatudeRelong.bolgspot.com.adalah significant
Kawan sebaya saya keturunan Orang kaya haji Wan Azman Wan Badarulzaman,Wan Gani Wan Abdullah dan Wan Sharifudin Wan Abdul Rahman dimana sekarang ?

Dr Aminudin

Warisan Perba said...

Salam. Sdr. Wan Jamaluddin - Pengerusi PEKAYA. Sebahagian pandangan sdr ada benarnya. SEJARAH PAHANG yg dapat dibaca sekarang belum dapat merakamkan secara menyeluruh apa yg berlaku di Negeri Pahang.

Ini bermakna SEJARAH PAHANG dalam sebuah wacana lengkap memang belum ada. Apa yang ditampilkan oleh para
penulis yg ada sekarang hanyalah kajian rintis yg belum ada penelitian lanjut daripada sejarahwan.

Beberapa pensejarahan Pahang yang berasaskan sumber pribumi yang berkaitan dengan PAHANG adalah satu usaha yang sangat baik, tetapi masih dalam kerangka yang bercampur-aduk dan memerlukan data sokongan dan rujukan silang.

ORANG KAYA HAJI merupakan satu tokoh besar dalam SEJARAH PAHANG, dan penulisan tentangnya perlu disegerakan penulisannya agar ia boleh melengkapkan fasa-fasa yang dianggap "vacuum" dalam SEJARAH PAHANG. Terima Kasih.

Warisan Perba said...
This comment has been removed by the author.